Seni Berfikir Yang Hilang #(L67,BL69)

RM30.00

Stock: 31

Code: 9789832423881

Berat: 0.350kg


Penghantaran


Description

Tajuk: Seni Berfikir Yang Hilang 
ISBN: 9789832423881
Penerbit: Iman Publication
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Tahun Terbitan: 2020
Muka Surat: 260
Halaman: Hitam Putih
Format: SoftCover
Berat (kg):0.350
Dimensi (cm): 21cm x 14.8cm x 1.3cm
 
 
Kalaulah boleh diabaikan saja isu-isu yang menyerabutkan kita pada hari ini, pasti hidup akan jadi lebih mudah.
 
Malang sekali, ia mustahil!
 
Isu-isu ini akan tetap wujud dan berlegar di sekeliling kita. Tanpa prinsip yang jelas, kita akan mudah dipengaruhi oleh pandangan orang lain.
 
Mungkin telah sampai masa untuk kita berpatah balik selangkah ke belakang dalam melihat semua isu ini. Mengapakah ia mencetuskan pelbagai konflik?
 
Melalui buku Seni Berfikir Yang Hilang, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengupas enam cabang ilmu yang seharusnya kita kuasai. Ilmu yang membentuk cara fikir kita, sekali gus membantu kita menghadapi isu-isu sekitar kehidupan dengan lebih matang.
 
KENAPA BUKU INI DITULIS?

1. Merawat kejuzukan minda umat Islam akibat sistem pendidikan yang mengkelas-kelaskan murid mengikut aliran sejak sekian lama. Implikasinya, kita gagal menghormati batas keupayaan diri sendiri, lalu membabitkan diri dengan perkara-perkara yang kita tiada ilmu mengenainya. Tanpa ilmu, kita menjadi seperti tikus membaiki labu. Nampak sibuk dan seperti bekerja, tetapi labu hancur tanpa hasil di hujungnya.

2. Semoga kupasan serba sederhana di dalam naskhah Seni Berfikir Yang Hilang ini, menjadi langkah pemula kepada usaha mengarusperdanakan karya penting Syeikh Yusuf al-Qaradawi ini.
 
 
SENI BERFIKIR YANG HILANG
 

“Baik, kamu kenal si comel di skrin itu?” Saya bertanya.

Murid-murid baharu di sekolah kami ketawa.

Di skrin, saya paparkan imej kartun seekor khinzir. Gayanya seperti watak di dalam kartun Peppa Pig. Soalan saya kepada mereka ia, apabila mereka lihat seekor khinzir, apakah yang terlintas di fikiran mereka. Ia adalah strategi metakognitif saya pada mengaktifkan pengetahuan sedia ada murid-murid, sebelum memperkenalkan ilmu baharu. Ia adalah sesi saya bersama pelajar baharu Tingkatan 1 di Khalifah Model School (Secondary) tahun 2016.

Macam-macam yang mereka tulis.

Haram.

Najis Mughallazah.

Gelatin.

Semakin banyak perkataan disenaraikan, semakin jelas kepada para pelajar bahawa perihal seekor khinzir pun, ia bukan lagi sekadar isu agama, tetapi mencakupi macam-macam cabang ilmu. Ertinya, untuk efektif dalam kehidupan, ilmu yang dikuasai perlu pelbagai, dan berintegrasi. Tidak boleh hasil persekolahan nanti, orang sains jadi orang sains, orang sastera jadi orang sastera, orang agama jadi orang agama.

Sebab itu nama sekolah pun sekolah Khalifah.

Khalifah adalah dimensi seorang Muslim yang kerap terabai.

Dimensi yang merangkumkan maksud peranan dirinya di atas muka bumi, selain sebagai hamba kepada Allah, adalah sebagai manusia yang perlu memainkan peranan ke atas diri sendiri, insan sekeliling, dan alam yang diamanahkan Allah.

Di situlah saya perkenalkan kepada murid-murid sekolah kami sebuah kitab kecil karangan ilmuan tersohor umat Islam masa kini iaitu kitab Tsaqafah al-Da’iyah karangan al-Allamah al-Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, hafizahullah. Memperkenalkannya kepada pelajar, bukanlah secara tradisional kalam ke kalam. Malah naskhah bahasa Malaysia juga tidak saya temui ketika itu, dan naskhah berbahasa Arab pula hanya dalam format Pdf yang ditemui di internet. Sebaliknya, saya gunakan pendekatan constructivism yang cuba membimbing pelajar membina pengetahuan mereka sendiri berdasarkan kes-kes yang diberi.

Di hujung bengkel, pelajar perlu bekerja did alam kumpulan masing-masing untuk membina bandar idaman mereka. Aspek yang perlu ditonjolkan ialah siapakah yang hendak membina atau menyediakan kemudahan tertentu di bandar itu dan apa ilmu yang diperlukan. Selain memberi dimensi ‘begin with the end in mind’ untuk murid-murid ini meneroka pengalaman persekolahan mereka nanti, saya juga mahu memupuk nilai yang tinggi pada apa sahaja pekerjaan yang dilakukan. Jadi jurutera, jadi pemandu bas, jadi pembina landskap taman, jadi tukang gunting rambut, apa sahaja yang dilakukan untuk kebaikan dan manfaat bersama, adalah di dalam kerangka mereka sebagai Khalifah Allah.

Saya telah mewacanakan buku Tsaqafah al-Da’iyah ini di dalam konteks serta hadirin yang berbeza. Ia dibincangkan di dalam kuliah Maghrib di surau, di dalam seminar, juga di sekolah-sekolah. Tujuan buku ini saya ketengahkan, adalah untuk mengarusperdanakan ia di dalam masyarakat umat Islam kontemporari di Malaysia. Buku ini mengandungi kerangka yang berkhasiat untuk merawat kejuzukan’ minda umat Islam akibat sistem pendidikan yang mengkelas-kelaskan murid mengikut aliran sejak sekian lama. Implikasinya, kita gagal menghormati batas keupayaan diri sendiri, lalu membabitkan diri dengan perkara-perkara yang kita tiada ilmu mengenainya. Tanpa ilmu, kita menjadi seperti tikus membaiki labu. Nampak sibuk dan seperti bekerja, tetapi labu hancur tanpa hasil di hujungnya.

Sheikh Yusuf al-Qaradhawi mengekori tradisi ilmuan-ilmuan islah di zaman sebelumnya. Apabila ulama kita mahu mengislah masyarakat, biar jalan apa pun yang dipilih, mereka tidak akan lari daripada membicarakan tentang asas-asas ilmu, kerana asas ilmu Islam itulah letaknya titik Tauhid yang mencantumkan kembali ‘agama’ dan ‘sains’ di dalam kerangka Syariatullah dan Sunnatullah.  Semua yang kita tahu, perlu kembali kepada sumber asalnya sama ada hasil menaakul alam atau tadabbur wahyu, kedua-duanya adalah mesej Rabbani daripada Ilahi yang Ahad, Allah Azza wa Jalla.

Semoga kupasan serba sederhana di dalam naskhah SENI BERFIKIR YANG HILANG ini, menjadi langkah pemula kepada usaha mengarusperdanakan karya penting Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ini. Ia adalah kombinasi transkrip editorial kepada siri kuliah dan seminar saya, bersama coretan-coretan di blog yang penuh kekurangan dan terbuka kepada teguran, pembetulan dan penambah baikan. Jika saya mengejar kesempurnaan, maka lambat lagilah naskhah itu boleh saya kemukakan untuk manfaat pembaca. Justeru saya menjemput sahabat semua membaca dan mengerjakan naskhah ini bukan untuk belajar sesuatu daripada saya, tetapi untuk belajar sesuatu bersama saya.

Rahmati dan bimbinglah usaha kecil kami ini ya Allah.

Hasrizal Bin Abdul Jamil
Oulu Finland
27 Disember 2019 | 1 Jumada al-Oula 1441H

 

ULASAN BUKU

Beberapa Mutiara Berharga Dari “Seni Berfikir Yang Hilang”

1. Walau apa pun isu yang kita bincangkan, ingatlah bahawa kita perlu bertindak "beyond the current issue". Kita tidak terikat dengan isu semasa, malah kita perlu mengatasinya kerana kita mahu berbincang tentang ilmu. (Halaman 16-17)

2. Jangan biarkan Islam 'mati' apabila ia sampai kepada kita. Jika kita tidak menyebarkannya, orang di sekeliling kita tidak dapat mengenali Islam. (Halaman 23)

3. Akhlak itu bukan lalang. Lalang tak memerlukan ladang semak, hanya perlukan tanah. Biarkan saja tanah kosong dan ia akan tumbuh. Akhlak ialah buah yang dipetik daripada pokok. Ada pokok spesifik yang perlu ditanam dan ada baja tertentu yang perlu diberi supaya buahnya boleh dipetik. (Halaman 29)

4. Kalau dakwah dijadikan pendorong untuk kita belajar, dengan sendirinya akan ada peningkatan dalam pembelajaran kita. Kerana audiens dakwah kita akan mula berkembang daripada satu segmen masyarakat ke satu segmen yang lain pula dalam komuniti yang lebih luas. Semakin berkembang ia, semakin banyak jugalah ragam dan perangainya. Semua itu menyebabkan tuntutan menjadi lebih berat. Oleh itu, lebih banyak pula yang kita perlu tahu tentang Islam. (Halaman 37)

5. Manusia yang kehilangan al-Quran seperti mayat hidup. Dia hidup tetapi hidupnya hilang makna. Apabila dia kehilangan al-Quran, dia meraba dalam kegelapan walaupun duduk di bawah sinaran matahari musim panas di padang pasir Sahara. Terang, tetapi buta. (Halaman 42)

6. Al-Quran ini setelah 1000 tahun pun tak habis lagi dikaji, tetapi ia sangat mudah untuk sesiapa pun yang mahu memahaminya. Semua orang ada akses kepada al-Quran. Baca bertatih pun dapat kebaikan. Lancar membaca pun dapat kebaikan. Ia meraikan semua tahap manusia. Mudahnya al-Quran, tidak bererti kita boleh memudah-mudahkan ia. (Halaman 54)

7. Apabila kita membaca tafsir, janganlah tenggelam dalam perbahasan yang sangat bercabang. Biarkan orang yang mengkaji aspek bahasa al-Quran mengkaji sejauh itu. Bagi kita para pendakwah, jangan terlarut begitu jauh. Fokuskan pada bahagian yang sifatnya membantu kita memahami kehendak ayat-ayat tertentu. Kekalkan fokus pada apa yang sepatutnya. Memahami ayat untuk membantu diri sendiri dan orang lain. (Halaman 69)

8. Adalah sikap tidak bertanggungjawab apabila merujuk dan merasakan bahawa asalkan apa yang nak dikatakan itu ada rujukan, maka ia dihukum sahih belaka. Ini adalah sikap yang tidak layak bagi pendakwah apabila ia tidak bertanggungjawab dengan apa yang dikata. Mudah sahaja menuding. "Itu bukan kenyataan saya. Saya hanya merujuk sahaja." (Halaman 85)

9. Sejarah meluaskan horizon fikiran dalam memahami “sunnatullah”. Satu ayat al-Quran mengenai infaq, apabila disingkap dari aspek sejarah, maka kita akan bertanya sejak bilakah ayat ini diturunkan ? Ertinya, ayat ini telah wujud dalam kehidupan manusia selama 1400 tahun. Dalam tempoh 1400 tahun itu, mereka membaca ayat yang sama. Apakah yang mereka hasilkan dari ayat infaq berkenaan ?

Dengan membaca sejarah dan memahaminya, kita bukan sekadar membahas persoalan hukum infaq yang wujud dalam teks semata-mata. Apa telah berlaku kepada umat Islam terdahulu dengan turunnya ayat berkenaan ? Dalam dokumen-dokumen “al-Waqfiat”, ayat infaq seperti ayat 195 surah al-Baqarah paling banyak ditemui. Ia melahirkan Daulah Uthmaniyyah, sebuah kerajaan yang berumur 600 tahun yang satu pertiga dari ekonominya terbina atas sumbangan wakaf. Bahkan, zaman Uthmaniyyah tidak hanya menekankan aspek infaq dan waqaf, tetapi juga memperelok hal ehwal waqaf kerana ayat 195 itu menyebut “wa ahsinuu”. (Halaman 103 dan halaman 115-117)

10. Dengan membaca sejarah, ayat wudhuk, tayamum dan mandi wajib tidak sekadar perbincangam fiqah semata-mata. Ayat inilah yang telah membentuk tamadun umat Islam yang kita kenal sekarang. Ternyata ayat itu adalah ayat yang merevolusi. Satu ayat revolusi yang mengubah pandangan manusia kepada kebersihan. Kebersihan bukan sekadar mengutip sampah di tepi-tepi jalan, tetapi kebersihan yang membabitkan pembangunan tamadun. (Halaman 104)

11. Apabila membaca kitab sejarah, bukan semua perkara dalam kitab itu benar. Sebaliknya kita perlu menyaring dengan disiplin ilmu. Salah satunya dengan membaca muka surat pendahuluan. (Halaman 170)

12. Syekh Yusuf al-Qaradhawi mengajar kita, sekiranya mahu memahami psikologi, jangan ikut beliau kerana beliau bukan pakar psikologi. Beliau cuba memberitahu kita bahawa ilmu psikologi amat penting. Jika anda mahu mendalami psikologi, dengar nasihat pakar psikologi. Harus dihormati kepakaran ahli-ahli dalam bidang masing-masing. Listen to the specialist ! (Halaman 199)

13. Falsafah paling tinggi ialah, otak yang paling pandai itu, saat bersolaf akan diletak di bawah untuk sujud di hadapan Tuhan. Malanglah jika semakin kamu berfalsafah, semakin kamu mendongak ke langit sedangkan kentutnya masih berbau busuk.” (Halaman 202)

14. Syekh al-Qaradhawi membaca buku psikologi popular Dale Carnegie pada tahun 1975 kerana kertas kerja ini dibentangkan 1976. Pada hemat saya, ia adalah sesuatu yang agak terkehadapan pada masa tersebut. Lebih-lebih lagi untuk seorang Syekh dan ustaz (halaman 204)

15. Betapa banyak gerakan-gerakan Islam atas nama wehdatul fikr (kesatuan fikiran) ia telah menyekat proses berfikir anggotanya dalam kaderisasi. Apabila kita menggerakkan proses pembinaan kader dalam dakwah, kita menghalakan manusia secara berjemaah untuk menjayakan dakwah, tetapi saranan untuk berfikir secara individu tidak boleh diabaikan.

Jemaah perlu mencari jalan untuk mencungkil buah fikiran setiap individu supaya cenderung untuk berfikir, bukan melarutkan anggota jemaah sehingga tenggelam tidak berfikir. (Halaman 206)

16. Kita tidak perlu “berkhutbah” untuk menjual sesuatu produk. Ada cara tertentu untuk menghasilkan iklan yang baik. Perlulah belajar psikologi. Kesan tidak memahami psikologi, banyaklah lahir perkara mengarut yang terhasil dari tangan manusia. Para pendakwah yang tidak mendalami ilmu psikologi, kemungkinan akan menggunakan bahasa-bahasa sarkastik. (Halaman 214)

17. Orang yang lari dari mengkaji pemikiran semasa itu samalah seperti orang yang lari dari medan perang fizikal. Semua agamawan dan pendakwah mesti memahami apakah pemikiran semasa yang menyerang masyarakat kita. (Halaman 223)

18. Kurangkanlah menyalahkan takdir dalam berdakwah dan menganggap ujian Tuhan sebagai punca kegagalan dakwah kita. Halakan tudingan jari kepada diri kita sendiri yang barangkali kurang memahami realiti masyarakat, negara dan dunia lalu memilih cara berdakwah yang tidak saintifik. (Halaman 259)

Untuk makluman, karya ini berusaha menjelaskan kepentingan enam ilmu kepada pendakwah. Naskhah asal yang boleh dirujuk ialah Thaqafah al-Daiyah karangan Shekh Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi. Ia dibentangkan Shekh di sebuah persidangan antarabangsa di Madinah pada 1976.

Namun, ternyata isi kandungan kitab itu masih releven !

Terima kasih ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang berada jauh di Finland.

Tahniah IMAN Publication atas penerbitan karya yang membumikan Thaqafah Daiyah berkenaan dan merangsang saya untuk merujuk dan membaca karya asal Shekh inshaallah.

“Buku ini mengandungi kerangka yang berkhasiat untuk merawat kejuzukan minda umat Islam akibat sistem pendidikan yang mengkelas-kelaskan murid mengikut aliran sejak sekian lama. Implikasinya, kita gagal menghormati batas keupayaan diri sendiri, lalu membabitkan diri dengan perkara-perkara yang kita tiada ilmu mengenainya. Tanpa ilmu, kita menjadi seperti tikus membaiki labu.” (Halaman 7)

Wallahu a’lam

- Syaari Ab Rahman (Sumber: Goodreads)

 

USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL

 

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil berasal daripada Ipoh,Perak. Lahir pada tahun 1975, beliau pernah menuntut ilmu di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh pada tahun 1988 sehingga 1992. Beliau seorang graduan Sarjana Muda Syariah (Kepujian) di Universiti Mu’tah, Jordan pada tahun 2001.

Pernah berkhidmat sebagai Minister of Religion di Belfast Islam Centre di bawah tajaan The Al-Maktoom Foundation, UAE di samping bertugas sebagai Muslim Chaplain di The Queen’s University, Ireland Utara.

Kini, beliau bermastautin di Oulu di Findland Utara dalam rangka menyempurnakan pengajian peringkat Sarjananya di University of Oulu dalam bidang Culture and Arts in Education Entrepreneurship di Oulu University of Applied Sciences (OAMK), Finland.

Beliau berkhidmat sejak tahun 2014 sebagai Pengarah Pendidikan di Yayasan Pendidikan Khalifah yang menguruskan Khalifah Model School (Rendah) dan Khalifah Model School (Menengah).

Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berperanan menambah baik kurikulum dan sistem Pendidikan Negara. 13 orang pakar pelbagai bidang yang menganggotainya telah dilantik sendiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu, Dr Maszlee Malik.

 

REVIEW

 

Buku ini mengajak kita untuk kembali menyemak kepentingan ilmu-ilmu lain selain ilmu Agama untuk menjayakan sebuah dakwah.
 
Dakwah adalah kewajipan setiap Muslim untuk disampaikan kepada sasaran dakwah. Oleh kerana sasaran dakwah itu adalah manusia itu sendiri, maka seorang pendakwah tidak boleh berpada dengan ilmu Agama semata-mata tanpa disokong oleh ilmu-ilmu lain seperti ilmu psikologi, sosiologi, sejarah, sains, bahasa dan sebagainya.
 
Membaca buku ini seolah-olah menjawab beberapa persoalan yang bersarang di fikiran mengenai kegagalan sesbuah dakwah, ia bukan disebabkan kekurangan sumber Agama kita tetapi disebabkan kekurangan ilmu seni berdakwah seorang pendakwah yang meminggirkan beberapa ilmu lain yang penting untuk menyokong usaha dakwah tersebut.

Sumber: www.broarmz.com 

Features